AKTIVITI PENULIS HILAL ASHRAF
oleh
Nor Syakirah Binti Zainal Ahmad (JQB170009)
Pendahuluan
Hari ini
sastera siber menjadi satu fenomena yang tidak boleh dipandang ringan. Sastera siber tidak terhad mengenai maklumat
buku, karya, penulis atau informasi semata-mata, tetapi meliputi perkongsian
karya dan idea, debat, wacana dan chat room yang khusus. Sastera siber
mempunyai “komuniti sasterawan”
yang tersendiri. Sebahagian besar
daripada mereka tidak kita kenal
di dunia nyata sebagai
penyair atau cerpenis
atau novelis, namun dalam
dunia maya, mereka
mempunyai pengikut dan
pembaca yang bukan sedikit (Johan Jaafar, 2004).
Salah seorang penulis muda terkenal negara yang aktif
di alam maya iaitu Muhammad Hilal Ashraf. Hilal Ashraf merupakan seorang penulis muda tempatan yang giat menulis
karya-karya berunsur Islamik dengan menjadikan ‘Mari Menjadi Hamba’ sebagai
asas tema untuk setiap penulisan karya-karya beliau. Nama sebenar
beliau ialah Muhammad Hilal Asyraf Bin Abd Razak
Bin Kaprawi . Kebanyakan karya novel
dan cerpennya berkitar antara hidupnya bersama orang sekelilingnya. Selain itu,
Hilal juga bergiat aktif sebagai penceramah bebas, mengendalikan kem berunsur
Islamik dan bengkel-bengkel motivasi. Menggunakan nama pena Hilal
Ashraf, beliau dilahirkan di Johor Bahru, Johor, pada 16 Januari 1989. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam
Hidayah, Johor, kemudian menyambung pengajian sekolah menengah di Ma’had
At-Tarbiyah Al-Islamiyyah (MATRI), Perlis, sebelum ke Jordan pada tahun 2008
mengambil pengkhususan Usuluddin di Yarmouk University, Irbid, Jordan dan
bergraduasi pada 2012. Anak sulung dari empat orang adik-beradik ini telah
bernikah dengan kekasih hati beliau, Tengku Masyitah pada 7 Julai 2012, dan
kini dikurniakan tiga orang anak. Mendapat
anugerah Hadiah Sastera Johor pada tahun 2011, sebagai Johan kategori Novel kanak-kanak. Menang
dengan Novel Remaja Mulia.
Gambar penulis Hilal Ahsraf
kredit kepada : Nur Alia
Perbincangan
Sepuluh tahun yang lepas, pada tahun 2007, beliau memulakan
perjalanan sebagai penulis bermula dengan pembinaan sebuah blogspot bernama
LangitIlahi.blogspot.com. Pada waktu itu beliau berusia 19 tahun dan menulis
hanya sekadar suka-suka. Namun, selepas itu, perjalanan diteruskan dengan
mengarang karya demi karya, fiksyen dan non-fiksyen, sehinggalah hari ini, Allah
SWT mengizinkan beliau menerbitkan sekitar 40 buah judul buku. Langit Ilahi
sendiri telah berkembang menjadi sebuah jenama, dan kini bergiat aktif
menganjurkan program demi program berbentuk seminar, semenjak 2013. Pada
penghujung 2016 pula, beliau menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri - Hilal
Asyraf Resources - dan menubuhkan laman sesawang HilalAsyraf.Com. dan LangitIlahi.Com
dicipta bagi menggantikan LangitIlahi.blogspot.com sebagai salah satu usaha
untuk menjadi medan pengasahan bakat kepada belia-belia atau golongan muda.
Bermula pada tahun 2011, saudari Hilal Ashraf telah
membuka akaun facebooknya. Nama tersebut ialah Hilal Asyraf (Offical). Beliau
sememangnya aktif menggunakan akaun facebook miliknya sehinggalah ke hari ini. Pelbagai
kegiatan dimuat naik dan di kongsikan kepada khalayak untuk makluman dan
tatapan umum. Antara kegiatan-kegiatan sastera yang telah dimuat naik oleh
beliau di dalam akaun facebooknya itu ialah berkongsi karya-karya sastera, berkongsi
kegiatan terkini beliau, mempromosikan karya beliau sendiri, memuat naik status
yang berunsur keagaamaan dan isu-isu semasa yang memberi manfaat kepada
pembaca, berinteraksi dengan pengikut dan mengulas karya-karya yang
telah/sedang dibaca oleh beliau untuk dikongsikan kandungan isi karya tersebut
kepada para pengikutnya.
Laman sesawang LangitIlahi.com yang diasaskan oleh Hilal Ashraf
Kredit kepada : LangitIlahi@facebook.com
Perkongsian
karya-karya sastera merupakan kegiatan yang paling banyak dan aktif yang beliau
lakukan. Beliau bukan sahaja berkongsi dan menyebar luaskan karya beliau sahaja
malah, beliau turut berkongsi karya-karya yang dinukilkan oleh sahabat-sahabat
pena yang lainnya. Berdasarkan penelitian penulis, beliau kerap berkongsi karya
sastera dari genre novel, motivasi, cerpen dan puisi. Antara contoh karya
motivasi yang beliau kongsikan dalam laman muka bukunya ialah Langit Ilahi, Tuhan
Tidak Akan Lupakan Kita, Fanzuru, Maka Lihatlah dan lain-lain lagi. Sementara
itu, karya novel yang dimuat naik di facebook beliau adalah Sinergi, Hero, Takdir,
Remaja Mulia, Surihati Encik Pembunuh, Samurai Melayu dan sebagainya. Selain
itu, beliau sering
memaparkan sebahagian karyanya di internet, sebelum ianya diterbitkan. Beliau
akan mengumpulkan sebahagian isi karya-karya beliau dan manuskrip yang belum
diedit. Hal demikian bertujuan supaya pembaca dapat mengetahui serba sedikit
perjalanan cerita, dan membuat penilaian ke atas pembaca sama ada mereka mahu
mendapatkan versi penuh dalam bentuk novel yang telah dicetak, atau sebaliknya. Beliau
juga turut menyelitkan elemen-elemen multimedia seperti lukisan, gambar, video
dan lain-lain lagi sebagai aspek kretiviti dalam berkarya di media sosial.
Tidak sekadar hanya
menulis, Hilal Ashraf juga dijemput ke pelbagai program untuk memberikan
penyampaian dan perkongsian di pelbagai tempat seperti seminar, forum,
bengkel dan program-program wawancara di media elektronik. Antaranya Ialah Seminar Baitul Muslim, Forum Remaja, Bicara Santai Bersama Hilal Ashraf, Diskusi Halatuju, Bedah Buku
Motivasi, Lepak Bersama Iman dan banyak lagi. beliau juga ada menganjurkan
beberapa program dibawah syarikatnya sendiri iaitu LangitIlahi.com. misalnya
Bengkel Penulisan Mega (PENA), Bengkel Penulisan Kreatif, Youth Awards,
Convention & Exhibition(YouthACE), Seminar Untuk Kita Pendosa, Seminar
Sebelum Aku Bernikah, Seminar Belia Merdeka dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, beliau juga sangat giat
mempromosikan hasil karya-karya beliau di laman muka bukunya. Kebanyakan karya
beliau yang dipromosikan mendapat sambutan yang hangat dan memberangsangkan
seperti buku Sebelum Aku Bernikah, Untuk Kita Pendosa Harapan Selalu Ada, Hero,
Samurai Melayu, Pemburu, Hikayat Satria-Satria Sejati : Arus Perubahan dan
banyak lagi. Lebih daripada 20 buku best-seller
karangan beliau telah terjual melebihi 25,000 naskhah dalam masa kurang
dua tahun. Hilal pernah menyatakan bahawa sesuatu karya yang dihasilkannya adalah dengan niat untuk
menyampaikan mesej dan prinsip kepada masyarakat secara santai dan
menghiburkan, tetapi tidak melampau. Apa yang
membuatkan penulis kagum tentang Hilal Ashraf ini ialah beliau menerbitkan
karya-karya beliau sendiri melalui syarikat penerbitannya yang diusahalkan oleh
beliau dan memasarkannya secara terus kepada pelanggan yang berminat. Semuanya
dikendalikan sendiri oleh syarikat miliknya dengan cara yang teratur dan mudah.
Contoh buku-buku yang dihasilkan oleh Hilal Ashraf
Kredit kepada : Hilal Ashraf (Offical)@facebook.com.
Kredit kepada : Hilal Ashraf (Offical)@facebook.com.
Selain itu, Hilal juga
sering memuat naik status dengan penerangan dan cerita yang panjang lebar untuk
perkongsian ilmu dan pendapat buat para pengikut/peminatnya. Lazimnya, status
yang dimuat naik itu adalah berkaitan tentang isu-isu semasa yang sedang
berlaku dan juga tentang muhasabah diri yang bertujuan untuk mengajak manusia
kembali ke jalan yang benar. Buku Koleksi
Status Facebook Terbaik merupakan himpunan
status-status di Facebook beliau yang mendapat sambutan yang hangat dari para pembaca/pengikut
beliau sehingga diterbitkan buku tersebut sebagai buah tangan untuk para
pembaca/pengikut beliau agar mereka juga menerima manfaat dan faedah dari buku tersebut.
Di samping itu, aktiviti
yang dapat dilihat dalam akaun muka buku milik Hilal Ashraf ialah beliau
bersifat terbuka ketika berinteraksi dengan rakan-rakan pengguna muka buku yang lain. Hal ini dapat dilihat apabila
beliau sentiasa membalas pertanyaan rakan-rakan tentang sesuatu isu, membalas
kebanyakan komen-komen orang lain dalam akaunnya dan bersifat terbuka terhadap
pandangan dan kritikan dari peminat atau pembaca. Ada ketikanya, beliau akan meminta pendapat dan
kritikan yang positif dari para pengikutnya untuk projek atau terbitan yang
akan datang ataupun yang sedang di bikin. Hal ini jelas menunjukkan bahawa
Hilal Ashraf sangat bersifat terbuka dan membenarkan interaksi antara
pengkarya dan pengikut/peminat berlaku
secara langsung tanpa sekatan dan halangan.
Akhir sekali, sekali-sekala beliau akan mengulas
buku-buku yang sedang atau baru habis dibacanya. Karya-karya yang diulas, bukan
sahaja dari penulis-penulis tempatan, malahan karya-karya yang dinukilkan oleh
penulis luar Malaysia juga diulas oleh Hilal Ashraf. Antara contoh-contoh buku
yang diulas oleh beliau ialah Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi karya
Iman Danial Haikal, Tarbiyah Ruhiyah: Konsep
Pembersihan Hati Aktivis Dakwah oleh
Sa'id Hawwa, Iman dan Kehidupan karangan Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi
dan lain-lain.
Penutup
Secara keseluruhannya, jelaslah di
sini bahawa penulis muda Hilal Ashraf ini begitu aktif dalam akaun muka bukunya
itu. Pelbagai aktiviti beliau kongsikan bersama para pengikutnya. Beliau sangat
ramah dan bersifat terbuka dengan pengikutnya. Beliau juga sangat bermurah hati
kerana sering menyebarkan ilmu-ilmu yang sangat berguna dan bermanfaat kepada
para pembaca/pengikut yang dimuat naik di status Facebooknya sehingga karya
beliau terkenal dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan para remaja atau
golongan muda. Melalui akaun facebooknya
itu dapat disimpulkan bahawa beliau telah memanfaatkan medium media sosial
untuk mengangkat karya-karya sastera dan ilmu yang bermanfaat serta memartabatkan
bahasa dan penulis Melayu ke seluruh pelosok dunia.
Kupasan yang menarik. Isi-isi yang dikarang sangat berinformasi dan mudah difahami.
ReplyDelete