Translate

Tuesday, 1 May 2018

AKTIVITI PENULIS DI LAMAN FACEBOOK

AKTIVITI PENULIS HILAL ASHRAF 
oleh
Nor Syakirah Binti Zainal Ahmad (JQB170009)



Pendahuluan  
Hari ini sastera siber menjadi satu fenomena yang tidak boleh dipandang ringan.   Sastera siber tidak terhad mengenai maklumat buku, karya, penulis atau informasi semata-mata, tetapi meliputi perkongsian karya dan idea, debat, wacana dan chat room yang khusus. Sastera siber mempunyai  “komuniti  sasterawan”  yang  tersendiri. Sebahagian  besar  daripada mereka  tidak kita  kenal  di dunia  nyata  sebagai  penyair  atau  cerpenis  atau  novelis, namun  dalam  dunia  maya,  mereka  mempunyai  pengikut  dan  pembaca  yang  bukan sedikit (Johan Jaafar, 2004).

Salah seorang penulis muda terkenal negara yang aktif di alam maya iaitu Muhammad Hilal Ashraf. Hilal Ashraf merupakan seorang penulis muda tempatan yang giat menulis karya-karya berunsur Islamik dengan menjadikan ‘Mari Menjadi Hamba’ sebagai asas tema untuk setiap penulisan karya-karya beliau. Nama sebenar beliau ialah Muhammad Hilal Asyraf Bin Abd Razak Bin Kaprawi . Kebanyakan karya novel dan cerpennya berkitar antara hidupnya bersama orang sekelilingnya. Selain itu, Hilal juga bergiat aktif sebagai penceramah bebas, mengendalikan kem berunsur Islamik dan bengkel-bengkel motivasi. Menggunakan nama pena Hilal Ashraf, beliau dilahirkan di Johor Bahru, Johor, pada 16 Januari 1989. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Islam Hidayah, Johor, kemudian menyambung pengajian sekolah menengah di Ma’had At-Tarbiyah Al-Islamiyyah (MATRI), Perlis, sebelum ke Jordan pada tahun 2008 mengambil pengkhususan Usuluddin di Yarmouk University, Irbid, Jordan dan bergraduasi pada 2012. Anak sulung dari empat orang adik-beradik ini telah bernikah dengan kekasih hati beliau, Tengku Masyitah pada 7 Julai 2012, dan kini dikurniakan tiga orang anak. Mendapat anugerah Hadiah Sastera Johor pada tahun 2011, sebagai Johan kategori Novel kanak-kanak. Menang dengan Novel Remaja Mulia. 
Gambar penulis Hilal Ahsraf
kredit kepada : Nur Alia

Perbincangan
Sepuluh tahun yang lepas, pada tahun 2007, beliau memulakan perjalanan sebagai penulis bermula dengan pembinaan sebuah blogspot bernama LangitIlahi.blogspot.com. Pada waktu itu beliau berusia 19 tahun dan menulis hanya sekadar suka-suka. Namun, selepas itu, perjalanan diteruskan dengan mengarang karya demi karya, fiksyen dan non-fiksyen, sehinggalah hari ini, Allah SWT mengizinkan beliau menerbitkan sekitar 40 buah judul buku. Langit Ilahi sendiri telah berkembang menjadi sebuah jenama, dan kini bergiat aktif menganjurkan program demi program berbentuk seminar, semenjak 2013. Pada penghujung 2016 pula, beliau menubuhkan syarikat penerbitannya sendiri - Hilal Asyraf Resources - dan menubuhkan laman sesawang HilalAsyraf.Com. dan LangitIlahi.Com dicipta bagi menggantikan LangitIlahi.blogspot.com sebagai salah satu usaha untuk menjadi medan pengasahan bakat kepada belia-belia atau golongan muda.
Bermula pada tahun 2011, saudari Hilal Ashraf telah membuka akaun facebooknya. Nama tersebut ialah Hilal Asyraf (Offical). Beliau sememangnya aktif menggunakan akaun facebook miliknya sehinggalah ke hari ini. Pelbagai kegiatan dimuat naik dan di kongsikan kepada khalayak untuk makluman dan tatapan umum. Antara kegiatan-kegiatan sastera yang telah dimuat naik oleh beliau di dalam akaun facebooknya itu ialah berkongsi karya-karya sastera, berkongsi kegiatan terkini beliau, mempromosikan karya beliau sendiri, memuat naik status yang berunsur keagaamaan dan isu-isu semasa yang memberi manfaat kepada pembaca, berinteraksi dengan pengikut dan mengulas karya-karya yang telah/sedang dibaca oleh beliau untuk dikongsikan kandungan isi karya tersebut kepada para pengikutnya.
Laman sesawang LangitIlahi.com yang diasaskan oleh Hilal Ashraf
Kredit kepada : LangitIlahi@facebook.com
Perkongsian karya-karya sastera merupakan kegiatan yang paling banyak dan aktif yang beliau lakukan. Beliau bukan sahaja berkongsi dan menyebar luaskan karya beliau sahaja malah, beliau turut berkongsi karya-karya yang dinukilkan oleh sahabat-sahabat pena yang lainnya. Berdasarkan penelitian penulis, beliau kerap berkongsi karya sastera dari genre novel, motivasi, cerpen dan puisi. Antara contoh karya motivasi yang beliau kongsikan dalam laman muka bukunya ialah Langit Ilahi, Tuhan Tidak Akan Lupakan Kita, Fanzuru, Maka Lihatlah dan lain-lain lagi. Sementara itu, karya novel yang dimuat naik di facebook beliau adalah Sinergi, Hero, Takdir, Remaja Mulia, Surihati Encik Pembunuh, Samurai Melayu dan sebagainya. Selain itu, beliau sering memaparkan sebahagian karyanya di internet, sebelum ianya diterbitkan. Beliau akan mengumpulkan sebahagian isi karya-karya beliau dan manuskrip yang belum diedit. Hal demikian bertujuan supaya pembaca dapat mengetahui serba sedikit perjalanan cerita, dan membuat penilaian ke atas pembaca sama ada mereka mahu mendapatkan versi penuh dalam bentuk novel yang telah dicetak, atau sebaliknya. Beliau juga turut menyelitkan elemen-elemen multimedia seperti lukisan, gambar, video dan lain-lain lagi sebagai aspek kretiviti dalam berkarya di media sosial.   
Tidak sekadar hanya menulis, Hilal Ashraf juga dijemput ke pelbagai program untuk memberikan penyampaian dan perkongsian di pelbagai tempat seperti seminar, forum, bengkel dan program-program wawancara di media elektronik. Antaranya Ialah Seminar Baitul Muslim, Forum Remaja, Bicara Santai Bersama Hilal Ashraf, Diskusi Halatuju, Bedah Buku Motivasi, Lepak Bersama Iman dan banyak lagi. beliau juga ada menganjurkan beberapa program dibawah syarikatnya sendiri iaitu LangitIlahi.com. misalnya Bengkel Penulisan Mega (PENA), Bengkel Penulisan Kreatif, Youth Awards, Convention & Exhibition(YouthACE), Seminar Untuk Kita Pendosa, Seminar Sebelum Aku Bernikah, Seminar Belia Merdeka dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, beliau juga sangat giat mempromosikan hasil karya-karya beliau di laman muka bukunya. Kebanyakan karya beliau yang dipromosikan mendapat sambutan yang hangat dan memberangsangkan seperti buku Sebelum Aku Bernikah, Untuk Kita Pendosa Harapan Selalu Ada, Hero, Samurai Melayu, Pemburu, Hikayat Satria-Satria Sejati : Arus Perubahan dan banyak lagi. Lebih daripada 20 buku best-seller karangan beliau telah terjual melebihi 25,000 naskhah dalam masa kurang dua tahun. Hilal pernah menyatakan bahawa sesuatu karya yang dihasilkannya adalah dengan niat untuk menyampaikan mesej dan prinsip kepada masyarakat secara santai dan menghiburkan, tetapi tidak melampau. Apa yang membuatkan penulis kagum tentang Hilal Ashraf ini ialah beliau menerbitkan karya-karya beliau sendiri melalui syarikat penerbitannya yang diusahalkan oleh beliau dan memasarkannya secara terus kepada pelanggan yang berminat. Semuanya dikendalikan sendiri oleh syarikat miliknya dengan cara yang teratur dan mudah.
Contoh buku-buku yang dihasilkan oleh Hilal Ashraf
Kredit kepada : Hilal Ashraf (Offical)@facebook.com.
Kredit kepada : Hilal Ashraf (Offical)@facebook.com.
Selain itu, Hilal juga sering memuat naik status dengan penerangan dan cerita yang panjang lebar untuk perkongsian ilmu dan pendapat buat para pengikut/peminatnya. Lazimnya, status yang dimuat naik itu adalah berkaitan tentang isu-isu semasa yang sedang berlaku dan juga tentang muhasabah diri yang bertujuan untuk mengajak manusia kembali ke jalan yang benar. Buku Koleksi Status Facebook Terbaik merupakan himpunan status-status di Facebook beliau yang mendapat sambutan yang hangat dari para pembaca/pengikut beliau sehingga diterbitkan buku tersebut sebagai buah tangan untuk para pembaca/pengikut beliau agar mereka juga menerima manfaat dan faedah dari buku tersebut.  
Di samping itu, aktiviti yang dapat dilihat dalam akaun muka buku milik Hilal Ashraf ialah beliau bersifat terbuka ketika berinteraksi dengan rakan-rakan pengguna muka buku  yang lain. Hal ini dapat dilihat apabila beliau sentiasa membalas pertanyaan rakan-rakan tentang sesuatu isu, membalas kebanyakan komen-komen orang lain dalam akaunnya dan bersifat terbuka terhadap pandangan dan kritikan dari peminat atau pembaca. Ada  ketikanya, beliau akan meminta pendapat dan kritikan yang positif dari para pengikutnya untuk projek atau terbitan yang akan datang ataupun yang sedang di bikin. Hal ini jelas menunjukkan bahawa Hilal Ashraf sangat bersifat terbuka dan membenarkan interaksi antara pengkarya  dan pengikut/peminat berlaku secara langsung tanpa sekatan dan halangan.
Akhir sekali, sekali-sekala beliau akan mengulas buku-buku yang sedang atau baru habis dibacanya. Karya-karya yang diulas, bukan sahaja dari penulis-penulis tempatan, malahan karya-karya yang dinukilkan oleh penulis luar Malaysia juga diulas oleh Hilal Ashraf. Antara contoh-contoh buku yang diulas oleh beliau ialah Aku Mahu Membaca 1000 Tahun Lagi karya Iman Danial Haikal, Tarbiyah Ruhiyah: Konsep Pembersihan Hati Aktivis Dakwah oleh Sa'id Hawwa, Iman dan Kehidupan karangan Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi dan lain-lain.
 Kredit kepada : Hilal Ashraf (Offical)@facebook.com.

Penutup
            Secara keseluruhannya, jelaslah di sini bahawa penulis muda Hilal Ashraf ini begitu aktif dalam akaun muka bukunya itu. Pelbagai aktiviti beliau kongsikan bersama para pengikutnya. Beliau sangat ramah dan bersifat terbuka dengan pengikutnya. Beliau juga sangat bermurah hati kerana sering menyebarkan ilmu-ilmu yang sangat berguna dan bermanfaat kepada para pembaca/pengikut yang dimuat naik di status Facebooknya sehingga karya beliau terkenal dan mendapat sambutan hangat dalam kalangan para remaja atau golongan muda.  Melalui akaun facebooknya itu dapat disimpulkan bahawa beliau telah memanfaatkan medium media sosial untuk mengangkat karya-karya sastera dan ilmu yang bermanfaat serta memartabatkan bahasa dan penulis Melayu ke seluruh pelosok dunia.    


1 comment:

  1. Kupasan yang menarik. Isi-isi yang dikarang sangat berinformasi dan mudah difahami.

    ReplyDelete

AKTIVITI PENULIS DI LAMAN FACEBOOK

AKTIVITI PENULIS HILAL ASHRAF  oleh Nor Syakirah Binti Zainal Ahmad (JQB170009) Pendahuluan   Hari ini sastera siber menjadi ...