Translate

Saturday, 7 April 2018

APAKAH CITRA WANITA YANG TERDAPAT DI DALAM HIKAYAT HANG TUAH?

Hikayat Hang Tuah (HHT) ialah sebuah epik kepahlawanan yang merentasi sepanjang zaman naik turun kerajaan Empayar Melaka. Cerita Melayu tradisional biasanya sememangnya lebih menekankan tentang wira berbanding wirawati, namun wirawati diperlukan dalam memastikan sesebuah cerita mempunyai jalan cerita yang menarik. Wanita sebenarnya tidak diberi kesempatan yang luas untuk dijadikan tokoh yang penting dalam sesebuah cereka tradisi. Cerita tradisi biasanya mementingkan tokoh wira daripada tokoh wirawatinya. Tokoh wirawati dalam sesebuah cereka melayu tradisi biasanya sebagai pelengkap sahaja kepada tokoh wira iaitu menjadi pasangan hidup. Kebanyakkan daripada tokoh-tokoh itu adalah tidak aktif. 

Tokoh wanita merupakan watak sampingan yang kehadirannya tidak begitu penting. Namun begitu, terdapat beberapa tarikan yang diberikan menarik untuk dibincangkan. Melalui pemerhatian dapat dilihat persoalan yang muncul adalah adakah sebenarnya wujud watak wirawati atau tidak dalam HHT. Sekiranya terdapat wirawati di dalam novel yang dikaji, siapakah yang dianggap tokoh. Wanita sememangnya diberikan kedudukan yang rendah dalam masyarakat zaman dahulu. Wanita dianggap lemah dan tidak berdaya dalam mencapai sesuatu.  Dalam kajian ini, tokoh wanita yang dipilih ialah Tun Teja.



Gambar : Tun Teja


Tokoh wanita yang diberikan peranan lebih dalam HHT ialah Tun Teja. Sungguhpun seorang yang berketurunan raja, namun tetap dianggap bangsawan.  Tun Teja dilayan dengan penuh hormat dan tinggal di istana serta dijaga oleh Mak inang.TunTeja dianggap sebagai ‘cahaya’ kerana raja negeri tersebut tidak mempunyai puteri. Tun Teja terkenal seorang gadis yang cantik. Raja Melaka yang ketika itu bujang juga tergila-gilakan anak Bendahara itu. Namun begitu, Tun Teja dengan beraninya telah menolak pinangan tersebut. Zaman dahulu raja amat disanjungi dan rakyat patuh pada raja. Tun Teja telah menolak pinangan tersebut dengan alasan:
“ Daulat Tuanku, patik hamba ke bawah Duli Yang Dipertua : Patik memohonkan ampun dan kurnia. Bukan patut bersuamikan Raja Melaka itu, kerana baginda dari raja besar keinderaan; kerana patik hamba dari ke bawah Duli Yang Dipertuan, menjadi bersalahan namanya. Adapun yang pipit itu sama pipit juga, yang enggang itu enggang juga, tuanku.”
(HHT, 1966, hlm 93)

Keberanian Tun Teja amat terserlah apabila beliau menolak pinangan walaupun telah dipersetujui oleh ayahdanya.Keberanian ini dikatakan amat luar biasa dan radikal pada zaman itu. Zaman dahulu wanita hanya sebuah patung yang akan digerakkan oleh lelaki yang bernama ‘ayah’ atau ‘suami’ mengikut kemahuan mereka tanpa bertanya pada wanita tersebut keinginan mereka. Walaupun alasan yang digunakan oleh Tun Teja amat lemah ayahnya, Sultan Inderapura tidak memaksanya langsung. Seharusnya, Sultan Inderapura mempunyai hak untuk memaksa kerana beliau merupakan wali yang sah kepada Tun Teja.

Hal ini dapat dilihat perwatakan Tun Teja ini dipaparkan dalam pelbagai situasi yang menarik seperti anak gadis, sudah bertunang dan sebagai isteri orang dengan menarik. Tun Teja dipaparkan sebagai gadis yang mempunyai pendirian apabila dengan beraninya menolak pinangan Raja Melaka. Namun begitu, sebagai tunang tidaklah begitu baik kerana Tun Teja sanggup memburukkan tunangnya Raja Terenggan, Megat Panji Alam. Beliau meninggalkan Inderapura selepas diletakkan ubat pengasih. Sebagai isteri, Tun Teja berjaya mempengaruhi suaminya untuk melakukan seperti yang beliau rasa betul. 

Watak Tun Teja muncul semula dalam HHT selepas Hang Jebat menderhaka. Tun Teja tidak mempersetujui sikap Hang Jebat yang melakukan perkara-perkara tidak senonoh di dalam istana. Tun Teja telah menampakkan keberanian apabila beliau berani menyindir raja melaka, iaitu suaminya dalam mengambil tindakan terhadap pembesar-pembesar yang membunuh anak Hang Jebat. Akhirnya, raja melaka menghantar Laksamana Hang Tuah untuk mengajar pembesar itu.

Kesimpulannya, Hikayat Hang Tuah pada asasnya menumpukan kepada watak wira terutamanya watak Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya tetapi citra Wanita juga diangkat dalam menyempurnakan jalan cerita ini. Watak wirawati seperti Tun Teja dapat memberi kesan kepada watak utama dalam HHT.

1 comment:

  1. Sebuah penulisan yang bagus untuk penghayatan sejarah golongan muda di tanah air. Dicadangkan supaya penulis meneruskan penulisan berkaitan tokoh-tokoh lain dalam sejarah melayu. Dan menggunakan medium Facebook sebagai medium tambahan untuk menyebarkan risalah ini.

    Terima kasih.

    ReplyDelete

AKTIVITI PENULIS DI LAMAN FACEBOOK

AKTIVITI PENULIS HILAL ASHRAF  oleh Nor Syakirah Binti Zainal Ahmad (JQB170009) Pendahuluan   Hari ini sastera siber menjadi ...